Tuesday, December 18, 2007

Cuti sekolah

Hari Sabtu dan Ahad sepanjang cuti sekolah bulan 12 ni merupakan hari tersibuk bagi kami sekeluarga bagi memenuhi undangan perkahwinan sanak saudara. Mulai dengan di perkahwinan 2 pupu di Banting dengan berkonvoi dan disusuli dengan majlis persandingan di Sg Galah, Kg Gajah, walaupun sampai lewat pada petangnya. Hari Ahad berikutnya pula memenuhi undangan walimatul-urus di Ipoh. Minggu berikutnya pula dijemput untuk ke kenduri kesyukuran anak kawan lama bersunat di Rawang. Tak duduk diam kami dirumah.

Ulangtahun ke 10

Tanggal 8 Disember genap lah ulangtahun perkahwinan kami yang ke 10. Semoga kebahagian dan kemanisan ini akan berkekalan dan berpanjangan hingga ke akhirnya dengan berkat doa semuanya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Wednesday, December 12, 2007

Tanam pokok gelam



Isteriku diberi penghormatan untuk menanam pokok gelam di Taman Rekreasi Datok Hormat, Petaling Jaya. Tertera di plak namanya. Rajin-rajinlah siram dan bubuh baja ye.

Kembara Family Langkawi 2007 - Part 5










Hari terakhir di pulau ini dihabiskan lagi sekali ke Pekan Kuah. Mana-mana yang terasa nak beli hari sebelumnya dipulunkan membeli sebab dan tahu sekitar harganya. Nismo Sentra yang tak abis-abis minyaknya terasa berat untuk dipulangkan kepada tuanpunya kembali. Proses mengemas dilakukan dengan teliti supaya barang-barang berharga kaca di bawa sebagai 'hand-luggage' dan yang lain dikargokan. Siapa dikalangan anak-anak ku yang nak bawak barang dan beg pun dipilih. Last-last ayahnya juga yang terpaksa mendukung 'baby boy' dan beg kaca lain sebab Fahmi dah tertidur masa di Boarding Gate. Bukan senang nak suruh dia berjalan ke plane bila dah meragam tidurnya . Hujan renyai rahmat mengiringi anak-anak kapal ke perut kapal. Terima-kasih diucapkan kepada warga Langkawi kerana 'meng'entertain' kami sekeluarga bercuti. Percutian yang akan datang - Pulau Singa....

Wednesday, December 05, 2007

Kembara Famili Langkawi Part 4





Hari sebelumnya yang penuh mencabar membawa bangun pagi hari ke 3 tersasar. Sarapan mee gulung yang unik di pantai cenang memberi semacam kekuatan untuk meneruskan percutian ini. Underwater world yang berdekatan menjadi lokasi pertama ditujui. Tiada yang gah ikan nya kerana ia diberitakan sebahagian ikan eksotiknya diracuni. Tetapi terpampang 'new attraction coming soon' dalam beberapa ruang pameran air. Bayar harga sama jugak. Patut ade diskaun la kan.. Lebih menarik lagi di Aquaria KLCC. Sekadar bandingan. Pekan Kuah sekali lagi didekati tetapi kali ini lebih banyak tumpuan kepada set-set pinggan dan barangan dapur. Rambang mata le juga isteri ku. Senario perbandingan dilakukan antara beberapa kedai dalam deretan. Sehingga lah dikenali dan diyakini harga antara set-set Vision, Vantage, Corelle, Luminarc dan Arcopal. Cokelat pelbagai nama pelik yang tiada di tanah besar di borong. Tak lupa ikon utama minyak gamat bervariasi yang dijual dalam kuantiti dozen. Setelah berpuas hati di Pekan Kuah, Beras Terbakar sekali lagi dilawati dengan fokus kepada kain baju dan keychain. Anak-anakku seronok memborong rantai kunci. Pilih punya pilih sampai berlebih. Ingat juga kepada kawan sekolahnya. Hampir senja balik semula ke hotel. Malamnya hanya berjalan kaki menyusuri deretan kedai-kedai makan yang bermandikan cahaya dan 'happenning di sepanjang Pantai Cenang.

Tuesday, December 04, 2007

Kembara Famili Langkawi 2007 Part 3












Hari ke 2 di pulau lagenda ini membawa kami di pagi hari ke Langkawi Cable Car di Teluk Burau. Kena tunjuk mykad membolehkan mendapat potongan diskaun sebagai rakyat terbilang. Salah satu lokasi Langkawi Geo Park dan tarikan utama terbaru di pulau ini yang tidak boleh dilepaskan. Melalui perjalanan selama 15 minit kereta kabel ini membawa kami ke Puncak Gunung Mat Cincang. Siapakah Mat Cincang dalam hikayat Langkawi ? Sepanjang perjalanan ke puncak menampakkan hampir keseluruhan pesisir pantai Langkawi, Pantai Cenang , Pulau Tasek Dayang Bunting, Pekan Kuah dan puncak Gunung Raya. Hampir 2 jam meluangkan masa di puncak Gunung Mat Cincang dengan menghirup udara segar gunung, hembusan bayu laut serta hamparan geografi lautan selat melaka. Turun dari puncak gunung kami menuju ke Telaga Tujuh. Satu pengalaman senaman mendaki tangga yang ekstrem. Hampir seluruh tenaga di gunakan untuk mendaki ke puncak Telaga Tujuh dengan bilangan anak tangga mencecah 600. Fahmi pulak meragam. Kena la pulak dukung dia. Fatehah tidur je sepanjang pendakian tangga ni Terasa lapang tetapi tegang urat betis apabila sampai di puncak Telaga Tujuh yang jernih airnya .Menurut kata tempatan cuma ada 5 telaga sahaja kita nampak menakala lagi 2 telaga hanya akan 'discover' jika kita tersesat. Anak2 ku tidak melepaskan peluang mandi di salah sebuah telaga yang cetek. Turun sahaja menampakkan kelaparan yang tidak terbendung lagi. Disini segelas air kosong sejuknya bernilai Rm1. Lokasi seterusnya ialah ke Teluk Datai dan Andaman Bay. Sampai ke hujung no entry jalan. Tempat bagi kelas 5 bintang serta berprestij dan bukan untuk warga tempatan untuk dihuni. Perjalanan seterusnya ke Taman Buaya Langkawi. Macam biasa lah ada buaya, serupa zoo. Singgah rehat sat di Pantai Pasir Hitam dan Teluk Yu . Air Hangat Village taklah sehangat airnya. Mungkin tiada bayaran dikenakan. Bersahaja sahaja. Hampir senja kami sampai di pantai Tanjung Rhu. Tempat yang mengembalikan nostalgia tahun 1993 bagi ku yang pernah sampai di sini dengan menaiki basikal lumba bersama 9 orang kengkawan se UTM. Tak percayakan. Bermain pasir dan melihat keindahan tanjung yg ditanam pokok rhu waktu senjakala. Azan maghrib membawa keletihan kembara seharian berkereta ini semula ke hotel di pantai cenang.

Friday, November 30, 2007

Kembara Famili Langkawi 2007 Part 2













Sebagai kenderaan rasmi sepanjang pengembaraan kami di pulau lagenda ini, kami dibekalkan dengan Nismo Sentra Manual 1.6. Isi petrol dengan isian penuh Rm60 cukup untuk mendongakkan jarum minyak. Lokasi pertama pekan Kuah setelah meletak beg di hotel. Makan tengahari buat pertama kalinya di Pantai Cenang agak memeranjatkan dengan perletakan harganya. Apa nak buat dah lapar semuanya. Lepas bergambar panas terik di bawah lembayung kepak helang tu kami terus ke Makam Mahsuri di Jalan Ulu Melaka. Peta ade dan sign board ade ikut je jalannya. Sampai pun dah petang. Dingin air telaga melegakan sikit kepanasan pulau ini. Latarbelakangnya yang mempamerkan lanskap bendang dan banjaran gunung memberi ketenangan seperti di lihat di dalam lukisan 'water color' yang pernah kulihat. Sedikit sebanyak tempat bersejarah dan lagenda ini memberi anak2 ku tentang asal-usul keturunan serta cerita mahsuri ini yang penuh dengan misteri dan bermaruah. Tempat orang lagi dikenang inikan pula tentang pantang-larang berbahasa dilokasi seperti ini. Hormat jua ketika berbicara semestinya walaupun kepercayaan itu saling bertingkah. Sentra yang diharap tidak berfungsi alarmnya walhal sebelumnya ia berfungsi baik. Nasib baik dapat kunci gantian. Surau berdekatan menjadi lokasi jamak bagi melengkapkan tanggungjawab wajib kami sebelum perkara lain menjengah. Lokasi seterusnya ke Beras Terbakar. Tiada apa yang dapat dlihat melainkan serpihan beras hitam dan padang rumput di tepian rumah pusaka. Lokasi ini menjanjikan tumpuan membeli-belah pakaian dan rantai kunci yang menarik. Sebelum menutup tirai bagi hari pertama di pulau ini, hidangan tomyam dan supekor menambah selera anak2 ku hingga habis licin semuanya..lapar betul semuanya.

Tuesday, November 27, 2007

Kembara Famili Langkawi 2007 Part 1




Agenda cuti sekolah hujung tahun November 2007 kali ni kami satu famili ke Pulau Langkawi. Tempahan awal masa MATTA fair bulan September membawakan kami ke satu tarikh 17 hingga 20 November 2007 menaiki AirAsia selama 45 minit ke pulau itu. Santapan pagi pukul 11 bernilai RM 28 dimana 2 mee cawan, 1 bubur cawan dan air mineral cukup memberi kesedapan pengalaman makanan mewah kepada anak-anak ku di atas awan. Belum sempat abis dah sampai. Panas sangat mee tu yee Fahmi..Ayahnya juga yang terpaksa menghabiskannya.. Anak bongsu ku juga tak kurang laparnya...

Syabas anakku




Anak sulungku Nur Farhani yang gemar dikenali sebagai ayong (yong beerti kakak sulung dalam loghat perak) menunjukkan kecemerlangannya dengan mendapat kedudukan terbaik bagi keseluruhan tahun 3 di sekolah paginya. Dia juga mendapat kedudukan nombor 1 di sekolah KAFA. Gembira sungguh dia dapat naik pentas tapi kami kedua ibubapa tak dapat hadir sebab sibuklah sangatlah kerja.....Mana taknya Majlis Anugerah Cemerlang diintegrasikan sekali dengan majis raya, depavali dan hari kanak2. Walau apa pun ayah dan ibu sebagai ibubapa ayong mengucapkan tahniah dan semoga berjaya dan kekal cemerlang untuk tahun-tahun berikutnya.. Jadi teladan pada adik-adik lain..Jangan sombong tau... ajar kawan-kawan lain.

Thursday, November 01, 2007

Selamat Hari Lahir Isteriku


Selamat Hari Lahir untuk isteriku yang ke 34. Moga Allah menambah rezeki dan keharmonian rumah tangga kita berdua serta dianugerahkan kesihatan yang baik. Isteriku jua yang memberi yang terbaik bagi anak-anak kita. Abang doakan semoga allah memberi keredhaan dan rahmat kepadamu sentiasa.

Kenangan Syawal 1428 - suasana kampung





Kemeriahan aidilfitri di kampung memang tiada tandingannya. Berkumpul dengan saudara-mara menghimpunkan segala keakraban bersama-sama dengan tok dan opah. Santapan pagi roti canai yang didatangkan khas dr teluk sena dan teluk bakong benar-benar menyelerakan. Rendang raya yang dibuat hanya dipandang sepi. 3 hari di Lambor Kanan dan 3 hari di Sg Besar melengkapkan kunjungan raya wajib bagi sesi hijrah 1428.

Kenangan Syawal 1428



Kenangan syawal 1428 pada kali ini membuatkan diri ini bersyukur kerana dianugerahkan keluarga yang membahagiakan serta mendamaikan. Sambutan aidilfitri telah dimulakan sebaik sahaja takbir raya bergema sebaik waktu isyak 29 Ramadhan 1428 di Jalan Kucing. Takbir raya rumah ke rumah telah menjadi satu tradisi sejak tahun 80 an di sini. Hujan rahmat di penghujung malam membawa lebih pengertian kepada umatnya semasa bertakbir. Banyak lagi rumah perlu dihabiskan. Berlari-lari anak dari rumah ke rumah bagi menunaikan amalan bertakbir tradisi ini. Basah kuyup tetapi gembira kerana bersyukur kerana diaunegerahkan kesihatan dapat menyumpurnakan ibadah puasa pada kali ini. Bersua dengan kawan-kawan sekolah sekampung lama. Menanya apa yang telah diperolehi dan apa yang telah dikecapi. Hampir 8 batang lemang dibeli. Duduk dibandar ni memang tak dapat merasa pengalaman membakar lemang.Pagi raya menunaikan sembahyang sunat aidilfitri di surau Taman Sri Delima. Bersalaman dengan bapa memohon ampun dan maaf. Sesi fotografi bergambar raya dilengkapkan. Hampir tengahari baru bertolak ke Lambor Kanan. Jalan tiada jem pun tapi padat di R&R. Berkonvoi dengan paksu fadlan dan makyang farhuna. Sekali-sekala memecut di sekitar 140 km sejam menguji akan kekredibiliti avanza ku ini yang sarat dengan kereta kelisa itu.

Thursday, October 11, 2007

Salam Aidilfitri

Lemah lembut tuan puteri
Berkain cindai cantik dipandang
Meriah menyambut Aidilfitri
Sahabat handai datang bertandang

Ada ketikanya Mata silap memandang,
Telinga salah mendengar lidah terlanjur,
Kata fikiran salah menafsir dan hati silap menduga...
kita hanya manusia biasa,

Salam kemaafan di pohon dari semua.


Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Monday, October 08, 2007

Telah dibikin

Syukur, dapat semula si emas itu. Tiada kesan kekasaran lagi. Semuanya telah di pulihkan dan dibikin semula oleh mereka yang mahir. Tapi agak janggal bila menaikinya pertama kali. Tiap kali berhenti di jalan sesak mata ini akan berpaling ke belakang melihat. Khuatir akan keyakinan kenderaan di belakang itu. Ucapan terima kasih kepada mereka yang menumpangkan ku termasuk isteri ku di pagi subuh menghantarku. Di kala petang motor modenas mengecutkan perutku memecut laju di LDP. Keyakinan bertambah kerana yang membawanya handalan belaka.

Friday, October 05, 2007

Cuti Raya

Kamik akan bercuti raya mulai 12/10 hingga 19/10. Rata-rata di ofis ni akan bercuti start 11/10. Mungkin akan sunyi sepi pada hari khamis itu. Tak mengapa kamik akan pasang lagu raya Awie dan S.Jibeng sebagaai pengubat lara. Tidak pun mercun katak sebagai penghibur hati. Malam raya semestinya tahun ini giliran Jalan Kucing. Sebagai tradisi di kampung pinggiran bandar ini akan ada Takbir Raya ke rumah rumah. Kawan-kawan lama ku mesti ada. Semuanya seperti dulu juga. Perangai tak berubah. Kali ni rumah siapa yg mula dulu dan rumah siapa yg akhir sekali jam 1 pagi. Sudah tahu menunya setiap rumah. Menu buahan2 atau satay atau sup kambing. Pagi raya akan bersembahyang di Masjid Kg Batu, bersalaman, bergambar sekeluarga. Lemang 'beli' menjadi santapan pagi nanti. Ke Lambor kanan, Ipoh dan Kg Gajah jua akan bertandang. Hari Ke 2 akan ke Sg Besar jua.

Thursday, October 04, 2007

Avanzaku dihentam...



Alkisah nak bertanya akan harga tayar membawa avanzaku di hentam dari sisi belakang tatkala ia memakir dengan diam di situ. Apalah salah si emas bernilai itu sampai dihentam sebegitu rupa. Syukur tiada siapa yang cedera dalam hening remang tengahari itu selepas bergembira membeli-belah. Famili ku di dalam 'shock' tatkala avanza itu bergoyang apabila ia dirempuh dari sisi. Berderai 'signal light' nya yang berkilau. Tiada kilau lagi. Bergaris, meredam dan remuk hati ini bagaikan bumper ku di lenyek sebegitu rupa oleh si Rusa mabuk itu. Nah, ia akan dan sedang dirawat serta di rehatkan (R&R) di bengkel mobil tersohor itu. Biarkan ia seketika kerana hati ini sakit melihat garisan remuk itu saban hari. Ada hikmahnya tersendiri. Kita takkan tahu. Walaupun sedikit zakat untuk yang memerlukan perlu ditunaikan. Satu pengajaran dan satu peringatan. Amin. Syukur mempunyai rakan yang perihatin dan isteri yang memahami walaupun terpaksa menaiki teksi membawa sebutir kunci. Haziq Fahmi dengan spontan mengutuk si pemabuk itu dengan nada marah. Terima kasih kerana menyokong ayah. Semoga perjalanan Avanza ku yang seterusnya diberkati dan selamat. Berhati-hati di jalanraya.

Friday, August 24, 2007

Moh le ke Ipoh weh...







Cuti 3 hari musim sekolah terus balik ke kampung Lambor Kanan. Jalan highway jem di Serendah. Lebih baik masuk jalan lama. Sampai kg dekat 4 jam perjalanan. Avanzaku still at its best 1.3 power. Dapat juga hirup udara segar di kg yang dah kembali kepada peringkat semulajadinya hutan di sana-sini. Tok dan opah kurang sihat begitu juga dengan makyah. Harap mereka akan pulih dan sihat seadanya kemudian. Singgah ke rumah maksu di Kg Gajah. Hampir petang lalu di tempat nostalgia, Tanjung Tualang, airnya biru... Sampai malam di Kg Kepayang, Ipoh rumah maknyah bersebelahan dengan Sg Senam setelah berpusing-pusing di bandaraya Ipoh. Udara segar dan nyaman juga tapi dari aras 6. Flat paling tinggi di bandaraya ini. Pasar pagi menceriakan suasana kawasan ni. Pukul 10 kami di bawa oleh Paman Rahman ke Gunung Lang. Kawasan riadah berbatu kapur dengan tasek semualajadinya dibawah seliaan MBI. Anak2 bagi makan ikan koi dan keli afrika. Naik bot ke pulau batu kapur. Kurang tarikan di pulau hanya lanskap pepohon dan rumah kutai perak. Anak2 bermain di playground. Macam tak pernah jumpa deme. Perlu ada tarikan lebih menarik di sini. Menjelang tengahari singgah santapan tengahari di rumah makyong di Pengkalan Pegoh. Jam 3:30 petang menuju balik ke Saujana Puchong ikut jalan lama dari Ipoh terus ke Tanjung Malim. Anak2 dah lapar dan meragam. Singgah sekejap menikmati pau. Ikon Tanjung Malim. Exit Sg Buluh .

Cuti Sekolah Ogos 2007 : Part 1




Tirai cuti sekolah kali ini dimulakan dengan pergi ke Family Day MBPJ di Sunway Lagoon. Tempat dekat ni memang tak pernah pergi tapi kalau Bukit Merah dah sampai. Sebab free itu yang terus pergi satu family. Fatehah duduk rumah dengan bibiknya. Sampai memang awal sepagi 8:30. Masuk air jam 9:30 pagi. Permainannya memang banyak yang memeningkan kalau siapa yang tak tahan dengan pergerakan lajudan pusingan. Standard la tu. Isteriku memang suka sangat bile ada roller-coaster ni dan kapal pirate pusing 360 darjah. Semua nak dicubanya.Tahan pening betul dia. Boleh jadi angkasawanita. Ayong, farahin dan fahmi sampai naik kecut bila dah berendam lama sangat dalam air. Sampai tak nak balik. Setengah jam lagi nak tutup baru la kami keluar dari lagoon ni.

Kisah Pagar










Siap juga pagar wrought iron ni. Autogate sekali. Hasil kerja pagar batu boleh lah dipuji tapi hasil kerja pemasangan pagar wrought iron ni agak kurang memuaskan. Orang seberang lagikan boleh berjaya dan tulus inikan pula orang kita. Semoga orang melayu kita lebih rajin dan sinonim dengan 'asalkan boleh'. Tapi keseluruhan pembinaan pagar ini menepati apa yang diidamkan selama ini. Bunga sireh junjungnya terjalin rapi menyusur mekar dengan bunga matahari sesuai dengan konsep bali pada pagar batunya. Idea yang tercetus spontan dan terus diaplikasikan.

Friday, August 10, 2007

Pagar: Tanpa Wrought Iron


Ini pandangan hadapan pagar batu tanpa dipasang lagi pagar utama besi tempawan di waktu remang pagi. Masih dalam pembikinan di bt14. Bilalah nak siapnya. Hari2 dah 'followup'.
(Amik gambar guna kamera N80 ni kualiti nya agak kurang..kena guna kamera nikon tu jugak)

Thursday, August 09, 2007

Pagar : Kemasan dan cat


Proses mengecat pula dijalankan dengan pilihan warna dari Jotun Jotashielded. Permukaan dinding batu diwarnakan dengan 'sahara storm' manakala 'cornice topping' diwarnakan dengan 'earthsand'. Dinding rumah yang ditebuk untuk di masukkan wiring 'autogate' diwarnakan dengan ' ginseng'. Warna 'ginseng' tu memang match dengan warna asal. Permukaan tiang yang di saluti dengan 'pebble wash' dikilatkan dengan minyak aryclic. Pagar batu memang dah siap tapi pagar wrought iron nya pulak belum siap.

Pagar : Simen



Lepas ikat batu, permukaan nya di simen dan diletakkan cornice di bahagian atasnya. Setiap tiang ditabur, diayak dan disimen bersama-sama 'pebble wash' iaitu ketulan batu-batu kecil berwarna kuning keperangan. Jenis 'pebble wash ini ialah dari filiphina yang dianggarkan satu beg berharga Rm26 dan beratnya 20kg.

Thursday, August 02, 2007

Pagar: Hari 1



Hari 1: Mula pembinaan 4 tiang dan kerja-kerja ikat batu di sekeliling rumah.Kontraktor guna batu-bata puteh dan bukan oren. 1 belah pagar dah kena tanggal jadi tinggal sebelah. Bila malam kena sandarkan je di sebelah pagar satu lagi . Nanti ada pulak makhluk-makhluk yang bertandang. Esok akan mula kerja-kerja menyimen.

Monday, July 30, 2007

Tercapai jua berkonvo


Tercapai jua aku menghabiskan pengajian Ijazah ni. Berkonvo juga akhirnya dengan rakan-rakan sesama. Rakan sesama men'copy-paste', seram sejuk semasa kuiz, kawan last minute, ucapan terima-kasih kepada sahabat yg men'spot' soalan ramalan dan bermacam ragam menyiapkan assigment dan projek. Minta halalkan semuanya kelak senang di 'promote' kan ke jawatan yang sedang menunggu. Kepada teman belajar di library OUM dari jam 9 hingga 5 walaupun hanya 1-2 hari sebelum exam mem'fotostat' soalan bocor maupun ramalan tersasar, gelak ketawa mendapatkan doa hembusan, selamat berjaya kalian semua ke gred profesional . Semuanya itu suka-duka sepanjang 4 (empat) tahun semenjak Semester ogos 2003 hinggalah ke semester 12 Januari 2007. Terima kasih yang tidak terhingga untuk isteri tersayang yang tak lekang menyokong, memberi dorongan dan bebelan tenaga positif. Jua untuk anak-anak yang membesar bersama-sama sepanjang pembelajaran ayah.
Tahinah untuk semua rakan-rakan sesama konvo OUM.